Lagu Negaraku

Ahad, 1 Ogos 2010

Guru Pembina Masa Depan Pemimpin Negara



Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Membentuk anak biarlah daripada kecil. Anak yang keras kepala bila dirotan sekali sekala, menjadi juga akhirnya. Bukan disebabkan takut kepada rotan, tetapi aura rotan itu yang membuatkan mereka terfikir dan sedar akan kesalahan yang dilakukan pada ketika itu. Kadang-kadang rotan tidak sangat digunakan, tetapi menunjukkan rotan kepada anak-anak sudah cukup memeritkan mereka. Hari ini, guru tidak dibenarkan memegang rotan. Apatah lagi menggunakannya bila diperlukan. Murid-murid yang nakal dengan selamba membuat apa saja. Mereka tahu, guru tidak boleh mencubit,memulas telinga,menampar dan apa sahaja sentuhan yang ditafsirkan boleh mendatangkan kesakitan kepada murid. Guru yang baik biasanya menegur perbuatan mereka. Guru yang baik itu juga terpaksa menerima sendaan muridnya sendiri, dimaki hamun oleh murid,dipermainkan, tidak kurang juga diperlekehkan sesuka hati oleh murid.Apa yang guru boleh lakukan pada hari ini? Dewasanya seorang murid itu, mungkin mereka boleh pandai dalam akademik tetapi mereka sebenarnya tidak bijak dalam banyak perkara. Tidak boleh menghormati orang yang lebih dewasa walaupun yang berdiri di hadapan mereka itu adalah guru mereka sendiri. Ibu bapa akan menyalahkan guru, bila anak mereka tidak berguna satu hari nanti. Ayuh orang politik, gunakan ketajaman akal. Cubalah anda menjadi guru walau seketika. Selami sedalam-dalamnya. Anda dapat jawapannya.

Khamis, 15 April 2010

Dr M kembali..

Tun Dr Mahathir mengesyorkan agar tambatan ringgit kembali diadakan. Pakar-pakar ekonomi dan ahli-ahli Bank Negara, capailah satu keputusan yang mampu memulihkan Malaysia daripada kelembapan ekonomi. Kadang-kadang pandangan orang lama boleh juga dipakai. Kepada yang lain ,elakkan membuat pengumuman yang hanya untuk meraih populariti. Fikirlah untuk kesejahteraan Malaysia bukan sekadar menangguk di air yang keruh.

Kesudahannya dimana?

4 wakil parlimen, 4 wakil dun, semuanya dari PKR melompat parti menjadi ahli bebas. Pelbagai persepsi,kritikan dan pujian diberikan kepada mereka. Pilihanraya Hulu Selangor, satu episod dan ujian bagi mereka ini. Satu ketika di pihak pembangkang dan sekarang diisytiharkan bebas. Adakah mereka benar-benar bebas?

Sabtu, 13 Mac 2010

Program yang bijak

Perdana Menteri bersama 300 rakan facebook di Putrajaya. Sebelum itu, PM di temuramah oleh 4 kanak-kanak yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3. Nampak biasa tapi hakikatnya memberi impak yang besar kepada generasi muda. PAS di sana sini pula mula menapak dalam program yang berbentuk kesukanan di peringkat akar-umbi.Penglibatan golongan muda juga kian bertambah. Sokongan kelab penyokong PAS dari bangsa bukan Melayu juga kian rancak.Bertuahnya generasi muda. Jangan pula, generasi lama menyimpan rahsia yang tersembunyi. Mereka juga penting dalam arus politik perdana.

Rabu, 24 Februari 2010

Kembalikan Maruah Pertahankan Kedaulatan

Kemegahan Kesultanan Melayu Melaka akhirnya binasa juga. Sekian lama bangsa asing mendominasi kekayaan yang dimiliki di bumi bertuah ini. Tanpa belas kesihan peribumi terpaksa hidup menumpang di bumi sendiri. Ditindas perkara biasa, kebanyakkan mereka ditemani airmata. Bila bersuara dianggap penderhaka. Lama-kelamaan pejuang bangsa muncul jua. Bersama rakyat menentang kezaliman. Bertindak seia sekata dengan satu suara menuntut merdeka. Malayan Union hendak dilaksanakan, namun kesatuan hati nenek moyang kita melenyapkan impian para durjana. Kita menuntut sebuah negara. Negara tempat dilahirkan dan bukan sesekali mengambil hak orang lain. Akhirnya 31 Ogos 1957 jiwa-jiwa merdeka deengan laungan keramat Merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka menjadi realiti. Bertuahnya bumi Malaysia.

Hari ini 2010. Masa begitu pantas. Tegakkan negara,kembalikan maruah bangsa dan martabatkan Islam hingga akhirnya.

Selasa, 23 Februari 2010

Binalah Malaysia Dengan Penuh Tanggungjawab

Kontrak Sosial wujud secara automatik dalam Perlembagaan. Bumiputera bermurah hati dan penuh pengorbanan memberi kerakyatan kepada bukan bumiputera melalui prinsip jus soli (kerakyatan mengikut tempat kelahiran.) Orang bukan Melayu pula perlu menerima 4
ketetapan iaitu Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, hak-hak orang melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan.
Walaupun demikian bukan bumiputera dibenarkan secara bebas mengamalkan agama masing-masing, boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri dan berada di bawah naungan Raja-raja Melayu berdaulat.
Dalam kehidupan negara Malaysia yang aman ini,sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia bekerjasama dan mengekalkan semangat perpaduan yang tinggi demi memelihara keharmonian yang dikecapi. Mana-mana warganegara sepatutnya tidak boleh mempertikaikan apa jua yang telah termaktub dalam perlembagaan agar 13 Mei 1969 tidak lagi menjadi detik hitam dalam sejarah negara.Demi penyatuan bangsa Malaysia, parti-parti politik yang sedia ada perlu berjuang secara sihat dan bukan dalam acuan huru hara yang boleh memporakperandakan keadaan. Parti pemerintah, memerintahlah dengan adil dan memperjuangkan yang hak tanpa menggadaikan nasib peribumi sendiri.Parti pembangkang pula, imbangi suara dan bantahan secara realistik dan menggunakan saluran yang paling rasional.Kekecohan yang berlaku di negara lain perlu diambil ikhtibar dan pengajaran. Dalam memperjuangkan ideologi, kesan jangka panjang harus difikir dan dibincangkan dengan mendalam. Jangan semata-mata untuk mengisi kemenangan dalam pilihanraya, tetapi menafikan pengisian selepas mendapat kuasa.Sesuatu yang baik dan boleh diterima banyak pihak, tidak boleh berlaku secara pantas dan keterpaksaan. Ianya datang atas dasar kesedaran yang tinggi demi mencapai cita-cita generasi masa depan terus menikmati kemakmuran yang telah dikecapi.
Sekarang adalah masa terbaik untuk memperingatkan mana-mana parti politik kerana masing-masing sudah mendapat kepercayaan sebagai parti yang memerintah dan pembangkang. Parti pemerintah juga bertindak sebagai pembangkang di negeri tertentu dan pembangkang bertindak sebagai pemerintah juga dinegeri tertentu. Beringatlah, anasir ancaman dalaman dan ancaman luaran pasti ada yang menunggu untuk mengambil peluang terhidang sekiranya kita rakyat Malaysia silap percaturan dan terlalai. Disebalik kejatuhan Kota Melaka, binalah Malaysia dengan penuh tanggungjawab.

Jumaat, 5 Februari 2010

3 Cabaran Berbeza

Pertama
Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) berada di pentas Pakatan Pembangkang memperjelaskan isu dan tuntutan royalti minyak di Stadium Kota Bharu dengan kehadiran 50,000 rakyat Kelantan. Tun Dr.Mahathir mendefinisikan bahawa, Tengku Razaleigh berkongsi kesetiaannya iaitu satu untuk parti dan satu lagi untuk negerinya sendiri. Pengerusi UMNO Kelantan menjelaskan, pihaknya tidak punyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap Kuli melainkan badan disiplin peringkat pusat. Apakah tekanan yang dialami oleh UMNO? Apakah faktor yang menjadi kekuatan kepada Kuli untuk berbeza pendekatan isu royalti dengan partinya sendiri?

Kedua.
Lim Guan Eng dibantah dan dipersenda sehingga patungnya dibakar dalam siri bantahan di hadapan Kompleks Ketua Menteri PP. Ngo, Dewan Perniagaan Melayu,GPMS,Perkasa, bergabung tenaga meminta Ketua Menteri itu bertindak secara adil dalam pentadbiran negeri. Jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang?

Ketiga.
9 Februari 2010, adakah ada perubahan pentadbiran di Perak? Nampaknya rakyat sudah bosan dan tidak lagi teruja seperti sebelumnya mengenai kepimpinan negeri. Bagi rakyat Perak, yang penting kemakmuran negeri dan maruah sekaliannya harus diutamakan. Lihatlah nanti, apakah keputusan mahkamah. Kedua-dua pihak memilih bidang kuasa mahkamah untuk mengadilinya. Bagi rakyat, kuasa mutlak adalah pada PRU ke-13.


Panduan untuk semua!
Khutbah jumaat yang disiarkan secara langsung dalam televisyen RTM pada 5 Februari 2010 meminta jemaah seluruh negara memahami konsep ulama dan cerdik pandai agama. Seseorang pemimpin akan rosak apabila dikelilingi oleh ulama yang punyai kepentingan dan kemewahan dunia, pangkat dan popular. Ulama mesti bebas dari semua itu.