Lagu Negaraku

Rabu, 14 September 2011

Kolumnis: Pergeseran pasca pilihan raya Temasek



Pandangan penulis:
Apa yang disuarakan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad ini ada kewajarannya. Signal rakyat di Singapura amat jelas terhadap pemimpin mereka. Di Malaysia juga begitu. Dulu, orang yang berjuang dalam politik mendahului kepentingan rakyat dan penat lelah mereka dibalas dengan sokongan padu akar umbi. Sekarang, rakyat sudah berpengetahuan dan tidak semua mereka boleh terpengaruh dengan dakyah dan propaganda sesuatu parti secara melulu dan membabi buta. Rakyat sudah pandai membuat pertimbangan. Dengan bantuan maklumat dihujung jari (internet) maklumat lebih cepat sampai dan disebarkan. Jelas, kreativiti dan pendekatan untuk pemimpin menyampaikan sesuatu isu atau dasar perlu disebarkan dengan kaedah yang paling efisien dan berstrategi. Bahagian akar umbi dan tulang belakang perlu setia dan tidak bercakaran sesama sendiri.

oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD
9/11/2011 7:55:04 AM
Sumber : Sinar Harian

Pemerintahan elit kian terancam, PRU-13 mungkin timbulkan kesan pada Umno-BN Walaupun Singapura dari segi geografi, terdekat dengan kita selain dari Thailand, kita jarang membaca berita tentangnya. Thailand, apa lagilah Indonesia, di seberang,

mendahului Temasek dalam liputan media kita. Apa pun mutakhir agak banyak sedikit laporan mengenai politik elit pulau itu kerana telah wujud persengketaan dalaman atau ‘internal fissure’ dalam PAP, parti elit yang telah berkuasa di Temasek semenjak tahun 1959 dan semenjak bulan Mei lalu diburukkan lagi selepas pilihan raya Presiden dua minggu (2 Saturdays ago). Apa yang diramalkan oleh Lee Kuan Yew (LKY) pengasas PAP, Bapa Singapura moden dan Perdana Menteri pertama, apabila dia berundur sesuatu (baca schism atau perpecahan akan melahirkan kelompok/mazhab disebabkan pendapat yang berbeza) sudah dan sedang berlangsung membuka mata rakyat Singapura. Keputusan dua pilihan raya dan schisme dalam PAP mempunyai implikasi siasah penting, berpengaruh dan agak luas.

Percanggahan (conflict) bermula kerana keputusan pilihan raya umum yang tidak cemerlang, mengikut standard PAP, menjadi lebih pincang dengan kemenangan tipis calon yang ditaja oleh PAP dan pemerintah, Dr Tony Tan, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam pilihan raya Presiden melawan Dr Tan Cheng Bock, bekas back-bencher PAP selama 26 tahun, popular kerana berminda bebas disokong pula oleh grassroots dan non-elit dalam parti dan kerajaan mendapat sambutan hebat daripada pengundi. Tony Tan hanya mampu meraih majoriti sebanyak 7,269 undi atau 35.2 peratus.

Cheng Bock dapat 34.8 peratus dari jumlah 2.2 juta yang mengundi. Satu tamparan besar kepada pucuk kepimpinan PAP dan pemerintah; satu tumbukan yang memeranjatkan kepada bekas ahli inner-circle parti dan pemerintah. Seolah-olah satu pertandingan proxy telah berlaku antara wakil pemerintah dan wasitah grassroots. Satu iktibar bagi Umno yang menghadapi PRU-13 yang diramal getir itu.

Keputusan kedua-dua pilihan raya bukan satu ‘fluke’ yakni bukan secara kebetulan; ia dijangka sebabnya self-evident. Pengundi muda-mudi, mereka terpelajar – bilangan golongan ini kian bertambah begitu juga di Malaysia – tidak begitu gemar dengan cara, stail pemerintahan elit yang keras dan teknokratik itu walaupun Temasek sudah mencapai taraf Dunia Pertama, bersih, amanah dan cekap. Pemimpin kerajaan Umno-BN harus mengambil perhatian. Kenapa pengundi Singapura seolah-olah memberontak sungguhpun negara mereka sudah sampai ke tahap yang kita masih menunggu dengan penuh harapan ke tahap yang sama sembilan tahun lagi? Nyata mereka tidak selesa di Dunia Pertama tanpa lebih kebebasan bersuara, bertindak. Mereka ingin lebih checks and balance on the PAP government; lebih demokrasi yang liberal; pengundi tua dan konservatif masih bersama dengan pemerintah. Berapa lama lagikah (walau siapa pun tidak mampu meramal) toleransi golongan ini terhadap elitisme setelah lebih empat dekad PAP berkuasa? Keadaan di Singapura makin leper atau pipih. PRU 2008 menunjukkan pengundi kita sudah berubah, dijangka terus beralih kalau tak kena buat! Dana, projek kilat, transformasi, slogan tidak mencukupi. Rakyat mahu melihat bukti mereka dihormati, menikmati kemakmuran, kebebasan, keadilan sosial, amanah dan ketelusan wujud bukan omong kosong atau seperti kata orang Kelantan ‘bual saja’!

Tidak berapa lama dahulu LKY telah memberi amaran: kemungkinan PAP berkecoh apabila dia bersara atau tiada lagi. Walaupun LKY masih ada (semenjak pilihan raya bulan Mei hanya MP biasa mewakili Tanjung Pagar semenjak 1959 lagi, setelah 41 tahun dalam kabinet, lebih tiga dekad sebagai PM) sudah pun berlaku keselerakan dalam PAP. Baru-baru ini pula LKY bermadah, lebih terus terang daripada biasa, PAP menghadapi bahaya hilang kuasa pada suatu hari. Tegasnya, ‘that day will come’. Semasa LKY berada dalam kabinet, PAP kukuh, kalau pun ada tidak puas hati, diselesaikan diam diam. Selalunya yang tidak senang hati berkesudahan lenyap atau ‘fade away’ terang Speaking. Mereka yang tidak selesa dengan LKY diketepikan atau ‘harshly dealt with’.

Seperti di Singapura, rakyat Malaysia juga bosan, jemu dengan kebongkakan, kesombongan setengah-setengah pemimpin Umno-BN dan kerajaan. Mereka tidak seperti zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Dr Mahathir pada hal pemimpin waktu itu mempunyai kelebihan yang banyak tetapi mereka tidak angkuh, mereka tidak takbur, tidak hidung tinggi! Tun Razak jujur mendahulukan rakyat terutama mereka di luar bandar dan pedalaman. Idiom zaman itu bukan mendahulukan rakyat – ‘mendekati dan membantu rakyat jelata dengan adil, cepat dan telus’. Tindakannya bukan retoriknya menyebabkan dia disayangi. Tun Razak bukan seorang pemidato; dia seorang pentadbir, pelaksana atau implementor dalam kelasnya tersendiri. Rakyat, terutama Peribumi, memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Dr Mahathir bukan mereka yang hanya pandai menabur janji. PRU-13 akan menjadi ‘water-shed’ yakni titik perubahan kepada Umno, Pas, DAP dan PKR.

Pengundi Singapura telah memberi amaran secara terang pemerintah harus berubah begitu juga pengundi kita memberi ingatan kerajaan kita mesti berubah kalau tidak jangan terkejut kalau sokongan mereka berpindah. Pertumbuhan ekonomi tinggi penting tetapi kepada majoriti rakyat pertumbuhan itu tiada makna kalau mereka terus dipinggirkan dan berkuah air mata manakala elit lokal dan dagang senang lenang bermandi di lautan kebendaan. Rakyat mahu kehormatan dan kemakmuran, materialisme. Juga ‘spirituality’, kata Speaking yakni ketuhanan, nilai-nilai rohaniah. Parti mana, siapa boleh menjamin pengundi akan menikmati kalau pun tidak semua separuh impian mereka akan menang PRU-13.

Legasi atau warisan Umno, seperti PAP, bercampur. Apa pun kalau seorang itu adil dia mesti menerima hakikat kedua-dua parti pemerintahan ini, suka duka, telah membawa kemajuan yang terbaik mungkin, jarang sekali rekod mereka dicapai oleh bekas tanah jajahan British/Amerika Syarikat/Perancis yang lain. Begitu juga pemuja Umno dan juga PAP – jangan cepat terasa – harus menerima barangkali sebab terlampau lama mereka memerintah, suka duka, mereka, tegas Speaking telah, ‘lost touch with the ground – kaki mereka tidak lagi berpijak di bumi.’

Adalah ironik kejayaan kedua-dua parti lambat laun juga akan merebahkan Umno dan PAP. Proses transformasi, reformasi mesti berlaku. Semua setuju. Apa yang dipersoalkan, kelompok mana yang beruntung dari tindakan ini – yang kaya terus kaya dan miskin terus fakir?

Sabtu, 19 Mac 2011

Isu terkini


Pilihan raya Sarawak mula mencuri tumpuan. Kekayaan Ketua Menteri hangat diperkatakan. Di dada akhbar, isu DNA heboh dilaungkan di sana sini menuntut DSAI menyerahkan sampel. Di IPTA pula, mana-mana Naib Canselor yang dilantik akan disusuli dengan surat-surat layang. Kejadian Tsunami di Jepun yang telah mengorbankan 4000 ribu orang secara rasminya dan 10,000 ribu lagi masih hilang. Isteri PM pula diserang oleh pembangkang kerana meletakkan kesalahan kepada Kerajaan Jepun yang tidak menghargai alam sekitar dan menyebabkan bencana pencemaran gas nuklear. Amerika Syarikat tetap mempertahankan bahawa kerajaan Libya akan dikenakan tindakan ketenteraan walau apa cara sekalipun sekiranya masih berdegil untuk menyerang pihak pemberontak yang juga terdiri daripada orang awam.

Ahad, 12 September 2010

Makna di sebalik balik kampung


Setiap kali musim perayaan, mereka yang berada di perantauan berpeluang untuk berada bersama keluarga masing-masing di kampung. Tradisi seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang terpelihara sejak sekian lama. Situasi yang didengari dan dirasai selama berada di kota-kota besar akan disampaikan kepada kaum keluarga yang biasanya dihiasi dengan gelak ketawa dan gurau senda. Setiap keluarga pasti ada pengikut setia kepada mana-mana parti politik sama ada secara lansung ataupun tidak lansung. Sesuatu isu yang dilontarkan pasti diikuti secara sokongan ataupun sindiran manja oleh mana-mana ahli keluarga yang cenderung mengeluarkan idea. Itulah kepentingan ikatan kekeluargaan yang boleh menyumbang kepada sokongan kepada parti politik di luar sana akhirnya. Mungkin betul pandangan sesetengah pihak mereka yang berada di perantauan mempunyai kuasa besar dalam menentukan sokongan dan kemenangan kepada parti-parti politik sewaktu pilihanraya umum.

Rabu, 25 Ogos 2010

Sistem Biometrik


Sistem Biometrik yang akan dikuatkuasakan pada Oktober 2010 ini dilihat boleh membantu mengatasi kebanjiran Pendatang Tanpa Izin dan ketirisan pengunjung warga asing yang masuk ke dalam negara tanpa pulang semula ke tempat asal mereka. Identiti mereka dapat dikenal pasti lebih awal. Idea dan pelaksanaan ini cukup menarik. Adalah diharapkan pihak berkuatkuasa yang diberi tanggungjawab berkaitan hal itu akan menunjukkan komitmen yang tinggi semasa bertugas. Rakyat Malaysia susah untuk melepasi tahap keselamatan negara jiran. Oleh itu, rakyat negara jiran juga perlu menghormati dan mengikut garis panduan bilamana mahu berada di negara ini.

Selasa, 24 Ogos 2010


25 hb Ogos 2010, berbaki 6 hari lagi untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia. Di sana-sini, banyak pihak mengambil peluang untuk membuat persiapan hari raya dengan mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Semangat patriotik pula kurang berseri kerana jumlah pemasangan bendera di kenderaan awam dan persendirian begitu kecil. Jarang-jarang dapat dilihat kereta dipasang Jalur Gemilang. Kesedaran dan semangat rakyat tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sabtu, 14 Ogos 2010


Jika berkunjung ke Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Wangsa Maju, ada penambahbaikan yang telah dilakukan. Kelihatan kaunter warga emas dan OKU ada disediakan. Jika terlalu ramai mereka yang ingin perbaharui cukai jalan, ada laluan pantas yang dibuat oleh pegawai secara ad-hoc. Satu perkara yang perlu diperhalusi ialah, tidak semua rakyat memahami dengan jelas, kesan dan tindakan yang bakal dihadapi apabila saman tidak dibayar segera. Ramai yang bersikap 'tunggu' 'last minute'. Kaunter 7 dan 8 adalah khusus untuk pembayaran saman. Turut disediakan bilik 'saman semula' dan bilik 'temu siasat'. Bagi golongan berada, tidak sukar untuk menjelaskan berapa banyak saman yang dikeluarkan.Golongan yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'pasti akan tergamam bila mana jumlah yang perlu mereka bayar adalah besar walaupun hanya sekadar kesalahan tidak memperbaharui cukai jalan. Orang yang bersalah pasti kena tindakan, pemilik kenderaan juga turut dikenakan denda. Kedua-duanya tidak akan dapat memperbaharui lesen apabila sampai masanya. Oleh sebab itu, disyorkan agar semua perkara yang melibatkan undang-undang perlu disampaikan kepada masyarakat dengan cara yang paling berkesan. Perkataan yang paling sesuai di sini ialah 'PENDIDIKAN KEPADA PESALAH JALAN RAYA'. Ayuh pihak yang berkaitan, perketatkan peraturan dan bijak menyampaikan penerangan. *Saman ekor mungkin ada kebaikan tetapi mengapa banyak pihak mempertikaikannya?

Jumaat, 13 Ogos 2010

Bayi Satu Anugerah Bukan Mainan


Membuang maknanya tidak sayang. Dibiarkan bersendirian tanpa dususui.Terdedah kepada ancaman binatang. Pertama kali mengenal dunia, tubuh tidak diselimuti. Sejuk terasa, busuk kerana bermalam di tong sampah. Akhirnya, selamat tinggal dunia, sungguh durjana, kejam mereka berhati iblis.
Seksyen 302 kanun keseksaan, perbuatan membunuh atau cubaan membunuh telah dipersetujui oleh kabinet untuk menghukum mereka yang bersalah. Sebelum ini hanya dikira sebagai kes menyembunyikan kelahiran. Apa yang penting sekarang ialah, bagaimana pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Sudah sampai masanya semua agensi yang ada disatukan untuk digerakkan secara bersama. Maksudnya perlu diselaraskan. Pelaksanaan dibuat tanpa ada unsur kepentingan. Penguatkuasaan dilakukan bukan bererti bahan untuk berita sensasi. Segala tindakan wajar untuk menangani semua masalah yang wujud akibat gejala sosial. Bersediakah kita untuk menutup apa saja ruang dan peluang gejala sosial daripada terus bermaharajalela. Bagaimana ancaman hiburan, di televisyen, di pusat-pusat hiburan, majalah hiburan dan laman-laman lucah yang menghairahkan. Kuasa politik mutlak kejayaan.