
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Membentuk anak biarlah daripada kecil. Anak yang keras kepala bila dirotan sekali sekala, menjadi juga akhirnya. Bukan disebabkan takut kepada rotan, tetapi aura rotan itu yang membuatkan mereka terfikir dan sedar akan kesalahan yang dilakukan pada ketika itu. Kadang-kadang rotan tidak sangat digunakan, tetapi menunjukkan rotan kepada anak-anak sudah cukup memeritkan mereka. Hari ini, guru tidak dibenarkan memegang rotan. Apatah lagi menggunakannya bila diperlukan. Murid-murid yang nakal dengan selamba membuat apa saja. Mereka tahu, guru tidak boleh mencubit,memulas telinga,menampar dan apa sahaja sentuhan yang ditafsirkan boleh mendatangkan kesakitan kepada murid. Guru yang baik biasanya menegur perbuatan mereka. Guru yang baik itu juga terpaksa menerima sendaan muridnya sendiri, dimaki hamun oleh murid,dipermainkan, tidak kurang juga diperlekehkan sesuka hati oleh murid.Apa yang guru boleh lakukan pada hari ini? Dewasanya seorang murid itu, mungkin mereka boleh pandai dalam akademik tetapi mereka sebenarnya tidak bijak dalam banyak perkara. Tidak boleh menghormati orang yang lebih dewasa walaupun yang berdiri di hadapan mereka itu adalah guru mereka sendiri. Ibu bapa akan menyalahkan guru, bila anak mereka tidak berguna satu hari nanti. Ayuh orang politik, gunakan ketajaman akal. Cubalah anda menjadi guru walau seketika. Selami sedalam-dalamnya. Anda dapat jawapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan