Lagu Negaraku

Ahad, 12 September 2010

Makna di sebalik balik kampung


Setiap kali musim perayaan, mereka yang berada di perantauan berpeluang untuk berada bersama keluarga masing-masing di kampung. Tradisi seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang terpelihara sejak sekian lama. Situasi yang didengari dan dirasai selama berada di kota-kota besar akan disampaikan kepada kaum keluarga yang biasanya dihiasi dengan gelak ketawa dan gurau senda. Setiap keluarga pasti ada pengikut setia kepada mana-mana parti politik sama ada secara lansung ataupun tidak lansung. Sesuatu isu yang dilontarkan pasti diikuti secara sokongan ataupun sindiran manja oleh mana-mana ahli keluarga yang cenderung mengeluarkan idea. Itulah kepentingan ikatan kekeluargaan yang boleh menyumbang kepada sokongan kepada parti politik di luar sana akhirnya. Mungkin betul pandangan sesetengah pihak mereka yang berada di perantauan mempunyai kuasa besar dalam menentukan sokongan dan kemenangan kepada parti-parti politik sewaktu pilihanraya umum.

Rabu, 25 Ogos 2010

Sistem Biometrik


Sistem Biometrik yang akan dikuatkuasakan pada Oktober 2010 ini dilihat boleh membantu mengatasi kebanjiran Pendatang Tanpa Izin dan ketirisan pengunjung warga asing yang masuk ke dalam negara tanpa pulang semula ke tempat asal mereka. Identiti mereka dapat dikenal pasti lebih awal. Idea dan pelaksanaan ini cukup menarik. Adalah diharapkan pihak berkuatkuasa yang diberi tanggungjawab berkaitan hal itu akan menunjukkan komitmen yang tinggi semasa bertugas. Rakyat Malaysia susah untuk melepasi tahap keselamatan negara jiran. Oleh itu, rakyat negara jiran juga perlu menghormati dan mengikut garis panduan bilamana mahu berada di negara ini.

Selasa, 24 Ogos 2010


25 hb Ogos 2010, berbaki 6 hari lagi untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia. Di sana-sini, banyak pihak mengambil peluang untuk membuat persiapan hari raya dengan mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Semangat patriotik pula kurang berseri kerana jumlah pemasangan bendera di kenderaan awam dan persendirian begitu kecil. Jarang-jarang dapat dilihat kereta dipasang Jalur Gemilang. Kesedaran dan semangat rakyat tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sabtu, 14 Ogos 2010


Jika berkunjung ke Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Wangsa Maju, ada penambahbaikan yang telah dilakukan. Kelihatan kaunter warga emas dan OKU ada disediakan. Jika terlalu ramai mereka yang ingin perbaharui cukai jalan, ada laluan pantas yang dibuat oleh pegawai secara ad-hoc. Satu perkara yang perlu diperhalusi ialah, tidak semua rakyat memahami dengan jelas, kesan dan tindakan yang bakal dihadapi apabila saman tidak dibayar segera. Ramai yang bersikap 'tunggu' 'last minute'. Kaunter 7 dan 8 adalah khusus untuk pembayaran saman. Turut disediakan bilik 'saman semula' dan bilik 'temu siasat'. Bagi golongan berada, tidak sukar untuk menjelaskan berapa banyak saman yang dikeluarkan.Golongan yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'pasti akan tergamam bila mana jumlah yang perlu mereka bayar adalah besar walaupun hanya sekadar kesalahan tidak memperbaharui cukai jalan. Orang yang bersalah pasti kena tindakan, pemilik kenderaan juga turut dikenakan denda. Kedua-duanya tidak akan dapat memperbaharui lesen apabila sampai masanya. Oleh sebab itu, disyorkan agar semua perkara yang melibatkan undang-undang perlu disampaikan kepada masyarakat dengan cara yang paling berkesan. Perkataan yang paling sesuai di sini ialah 'PENDIDIKAN KEPADA PESALAH JALAN RAYA'. Ayuh pihak yang berkaitan, perketatkan peraturan dan bijak menyampaikan penerangan. *Saman ekor mungkin ada kebaikan tetapi mengapa banyak pihak mempertikaikannya?

Jumaat, 13 Ogos 2010

Bayi Satu Anugerah Bukan Mainan


Membuang maknanya tidak sayang. Dibiarkan bersendirian tanpa dususui.Terdedah kepada ancaman binatang. Pertama kali mengenal dunia, tubuh tidak diselimuti. Sejuk terasa, busuk kerana bermalam di tong sampah. Akhirnya, selamat tinggal dunia, sungguh durjana, kejam mereka berhati iblis.
Seksyen 302 kanun keseksaan, perbuatan membunuh atau cubaan membunuh telah dipersetujui oleh kabinet untuk menghukum mereka yang bersalah. Sebelum ini hanya dikira sebagai kes menyembunyikan kelahiran. Apa yang penting sekarang ialah, bagaimana pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Sudah sampai masanya semua agensi yang ada disatukan untuk digerakkan secara bersama. Maksudnya perlu diselaraskan. Pelaksanaan dibuat tanpa ada unsur kepentingan. Penguatkuasaan dilakukan bukan bererti bahan untuk berita sensasi. Segala tindakan wajar untuk menangani semua masalah yang wujud akibat gejala sosial. Bersediakah kita untuk menutup apa saja ruang dan peluang gejala sosial daripada terus bermaharajalela. Bagaimana ancaman hiburan, di televisyen, di pusat-pusat hiburan, majalah hiburan dan laman-laman lucah yang menghairahkan. Kuasa politik mutlak kejayaan.

Ahad, 8 Ogos 2010

Program selepas atau sebelum gejala sosial berlaku?


KM Melaka di'interview' dalam HUJAH menerusi TV9 selasa 3 Ogos 2010, dikeluarkan kenyataannya dalam Mingguan Malaysia Ahad 8 Ogos 2010, berkaitan penubuhan sekolah pelajar mengandung yang pertama di Malaysia. Usaha beliau katanya bersama dengan pihak Jabatan Islam,Mufti dan seluruh agensi agama yang ada di Melaka. Pelajar miang dan tidak tahan godaan nafsu dinasihatkan agar berkahwin awal dan diberi RM500.00 sebagai modal perkahwinan. Daripada pelajar ini terus bergelumang dengan dosa,lebih baik mereka buat secara halal katanya. Bayi-bayi yang lahir tidak terus dibuang dan boleh diberi kepada ibu bapa angkat. Mungkin ramai terpegun seketika, 'KM Melaka kata: Kembali kepada agama'.
Rasanya sejuk hati orang PAS dengar perkataan tersebut. Tidak semua bersetuju dengan tindakan KM Melaka tersebut. Ada yang berpendapat lebih baik mencegah puncanya dari awal mengapa kes-kes gejala sosial berlaku. Bukannya mengambil langkah selepas kes-kes gejala sosial berlaku. Adalah lebih baik, isu ini dibincangkan diperingkat yang lebih tinggi, iaitu dalam majlis Mufti-mufti seluruh Malaysia. Cari kesepakatan, minta pandangan semua pihak, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang. Kesannya banyak, kesannya kepada seluruh warga Malaysia. Perkara ini bukan permainan untuk dipolitikkan. Generasi masa depan adalah bermula dari generasi muda yang terpimpin pada masa sekarang.

Selasa, 3 Ogos 2010

Remaja Oh Remaja: Susah Mencapai Merdeka, Senang Dibuai Bahana


Isu remaja terlalu banyak. Sikap ingin mencuba, pengaruh rakan sebaya dan serangan hiburan yang berterusan telah memperlihatkan keruntuhan akhlak remaja di sana sini. Sekolah pelajar mengandung diwujudkan dengan niat untuk melindungi bayi agar tidak dibuang sesuka hati. Pernah juga jarum suntikan diberi percuma bagi mengelakkan angka pesakit AIDS meningkat. Serangan ala genster, samseng berkumpulan mungkin boleh menyerang mangsa secara terbuka dan ia memang terjadi mengikut laporan akhbar-akhbar tempatan. Urut geli-geli dengan kepakaran remaja tanpa izin sudah tidak segan untuk beroperasi dan menerima sesiapa saja yang dahagakan belaian itu. Ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak bersama teman sosial meraikan 'birtday party'walau di rumah sendiri. Saman menyaman antara bapa terhadap anak, bapa disepak terajang, ibu kehilangan anak yang dilarikan akibat godaan cinta, mencerminkan keluarga bahagia kian terhakis. Dimana silapnya? Siapa harus ditanya?

Ahad, 1 Ogos 2010

Guru Pembina Masa Depan Pemimpin Negara



Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Membentuk anak biarlah daripada kecil. Anak yang keras kepala bila dirotan sekali sekala, menjadi juga akhirnya. Bukan disebabkan takut kepada rotan, tetapi aura rotan itu yang membuatkan mereka terfikir dan sedar akan kesalahan yang dilakukan pada ketika itu. Kadang-kadang rotan tidak sangat digunakan, tetapi menunjukkan rotan kepada anak-anak sudah cukup memeritkan mereka. Hari ini, guru tidak dibenarkan memegang rotan. Apatah lagi menggunakannya bila diperlukan. Murid-murid yang nakal dengan selamba membuat apa saja. Mereka tahu, guru tidak boleh mencubit,memulas telinga,menampar dan apa sahaja sentuhan yang ditafsirkan boleh mendatangkan kesakitan kepada murid. Guru yang baik biasanya menegur perbuatan mereka. Guru yang baik itu juga terpaksa menerima sendaan muridnya sendiri, dimaki hamun oleh murid,dipermainkan, tidak kurang juga diperlekehkan sesuka hati oleh murid.Apa yang guru boleh lakukan pada hari ini? Dewasanya seorang murid itu, mungkin mereka boleh pandai dalam akademik tetapi mereka sebenarnya tidak bijak dalam banyak perkara. Tidak boleh menghormati orang yang lebih dewasa walaupun yang berdiri di hadapan mereka itu adalah guru mereka sendiri. Ibu bapa akan menyalahkan guru, bila anak mereka tidak berguna satu hari nanti. Ayuh orang politik, gunakan ketajaman akal. Cubalah anda menjadi guru walau seketika. Selami sedalam-dalamnya. Anda dapat jawapannya.

Khamis, 15 April 2010

Dr M kembali..

Tun Dr Mahathir mengesyorkan agar tambatan ringgit kembali diadakan. Pakar-pakar ekonomi dan ahli-ahli Bank Negara, capailah satu keputusan yang mampu memulihkan Malaysia daripada kelembapan ekonomi. Kadang-kadang pandangan orang lama boleh juga dipakai. Kepada yang lain ,elakkan membuat pengumuman yang hanya untuk meraih populariti. Fikirlah untuk kesejahteraan Malaysia bukan sekadar menangguk di air yang keruh.

Kesudahannya dimana?

4 wakil parlimen, 4 wakil dun, semuanya dari PKR melompat parti menjadi ahli bebas. Pelbagai persepsi,kritikan dan pujian diberikan kepada mereka. Pilihanraya Hulu Selangor, satu episod dan ujian bagi mereka ini. Satu ketika di pihak pembangkang dan sekarang diisytiharkan bebas. Adakah mereka benar-benar bebas?

Sabtu, 13 Mac 2010

Program yang bijak

Perdana Menteri bersama 300 rakan facebook di Putrajaya. Sebelum itu, PM di temuramah oleh 4 kanak-kanak yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3. Nampak biasa tapi hakikatnya memberi impak yang besar kepada generasi muda. PAS di sana sini pula mula menapak dalam program yang berbentuk kesukanan di peringkat akar-umbi.Penglibatan golongan muda juga kian bertambah. Sokongan kelab penyokong PAS dari bangsa bukan Melayu juga kian rancak.Bertuahnya generasi muda. Jangan pula, generasi lama menyimpan rahsia yang tersembunyi. Mereka juga penting dalam arus politik perdana.

Rabu, 24 Februari 2010

Kembalikan Maruah Pertahankan Kedaulatan

Kemegahan Kesultanan Melayu Melaka akhirnya binasa juga. Sekian lama bangsa asing mendominasi kekayaan yang dimiliki di bumi bertuah ini. Tanpa belas kesihan peribumi terpaksa hidup menumpang di bumi sendiri. Ditindas perkara biasa, kebanyakkan mereka ditemani airmata. Bila bersuara dianggap penderhaka. Lama-kelamaan pejuang bangsa muncul jua. Bersama rakyat menentang kezaliman. Bertindak seia sekata dengan satu suara menuntut merdeka. Malayan Union hendak dilaksanakan, namun kesatuan hati nenek moyang kita melenyapkan impian para durjana. Kita menuntut sebuah negara. Negara tempat dilahirkan dan bukan sesekali mengambil hak orang lain. Akhirnya 31 Ogos 1957 jiwa-jiwa merdeka deengan laungan keramat Merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka menjadi realiti. Bertuahnya bumi Malaysia.

Hari ini 2010. Masa begitu pantas. Tegakkan negara,kembalikan maruah bangsa dan martabatkan Islam hingga akhirnya.

Selasa, 23 Februari 2010

Binalah Malaysia Dengan Penuh Tanggungjawab

Kontrak Sosial wujud secara automatik dalam Perlembagaan. Bumiputera bermurah hati dan penuh pengorbanan memberi kerakyatan kepada bukan bumiputera melalui prinsip jus soli (kerakyatan mengikut tempat kelahiran.) Orang bukan Melayu pula perlu menerima 4
ketetapan iaitu Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, hak-hak orang melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan.
Walaupun demikian bukan bumiputera dibenarkan secara bebas mengamalkan agama masing-masing, boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri dan berada di bawah naungan Raja-raja Melayu berdaulat.
Dalam kehidupan negara Malaysia yang aman ini,sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia bekerjasama dan mengekalkan semangat perpaduan yang tinggi demi memelihara keharmonian yang dikecapi. Mana-mana warganegara sepatutnya tidak boleh mempertikaikan apa jua yang telah termaktub dalam perlembagaan agar 13 Mei 1969 tidak lagi menjadi detik hitam dalam sejarah negara.Demi penyatuan bangsa Malaysia, parti-parti politik yang sedia ada perlu berjuang secara sihat dan bukan dalam acuan huru hara yang boleh memporakperandakan keadaan. Parti pemerintah, memerintahlah dengan adil dan memperjuangkan yang hak tanpa menggadaikan nasib peribumi sendiri.Parti pembangkang pula, imbangi suara dan bantahan secara realistik dan menggunakan saluran yang paling rasional.Kekecohan yang berlaku di negara lain perlu diambil ikhtibar dan pengajaran. Dalam memperjuangkan ideologi, kesan jangka panjang harus difikir dan dibincangkan dengan mendalam. Jangan semata-mata untuk mengisi kemenangan dalam pilihanraya, tetapi menafikan pengisian selepas mendapat kuasa.Sesuatu yang baik dan boleh diterima banyak pihak, tidak boleh berlaku secara pantas dan keterpaksaan. Ianya datang atas dasar kesedaran yang tinggi demi mencapai cita-cita generasi masa depan terus menikmati kemakmuran yang telah dikecapi.
Sekarang adalah masa terbaik untuk memperingatkan mana-mana parti politik kerana masing-masing sudah mendapat kepercayaan sebagai parti yang memerintah dan pembangkang. Parti pemerintah juga bertindak sebagai pembangkang di negeri tertentu dan pembangkang bertindak sebagai pemerintah juga dinegeri tertentu. Beringatlah, anasir ancaman dalaman dan ancaman luaran pasti ada yang menunggu untuk mengambil peluang terhidang sekiranya kita rakyat Malaysia silap percaturan dan terlalai. Disebalik kejatuhan Kota Melaka, binalah Malaysia dengan penuh tanggungjawab.

Jumaat, 5 Februari 2010

3 Cabaran Berbeza

Pertama
Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) berada di pentas Pakatan Pembangkang memperjelaskan isu dan tuntutan royalti minyak di Stadium Kota Bharu dengan kehadiran 50,000 rakyat Kelantan. Tun Dr.Mahathir mendefinisikan bahawa, Tengku Razaleigh berkongsi kesetiaannya iaitu satu untuk parti dan satu lagi untuk negerinya sendiri. Pengerusi UMNO Kelantan menjelaskan, pihaknya tidak punyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap Kuli melainkan badan disiplin peringkat pusat. Apakah tekanan yang dialami oleh UMNO? Apakah faktor yang menjadi kekuatan kepada Kuli untuk berbeza pendekatan isu royalti dengan partinya sendiri?

Kedua.
Lim Guan Eng dibantah dan dipersenda sehingga patungnya dibakar dalam siri bantahan di hadapan Kompleks Ketua Menteri PP. Ngo, Dewan Perniagaan Melayu,GPMS,Perkasa, bergabung tenaga meminta Ketua Menteri itu bertindak secara adil dalam pentadbiran negeri. Jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang?

Ketiga.
9 Februari 2010, adakah ada perubahan pentadbiran di Perak? Nampaknya rakyat sudah bosan dan tidak lagi teruja seperti sebelumnya mengenai kepimpinan negeri. Bagi rakyat Perak, yang penting kemakmuran negeri dan maruah sekaliannya harus diutamakan. Lihatlah nanti, apakah keputusan mahkamah. Kedua-dua pihak memilih bidang kuasa mahkamah untuk mengadilinya. Bagi rakyat, kuasa mutlak adalah pada PRU ke-13.


Panduan untuk semua!
Khutbah jumaat yang disiarkan secara langsung dalam televisyen RTM pada 5 Februari 2010 meminta jemaah seluruh negara memahami konsep ulama dan cerdik pandai agama. Seseorang pemimpin akan rosak apabila dikelilingi oleh ulama yang punyai kepentingan dan kemewahan dunia, pangkat dan popular. Ulama mesti bebas dari semua itu.