Lagu Negaraku

Rabu, 14 September 2011

Kolumnis: Pergeseran pasca pilihan raya Temasek



Pandangan penulis:
Apa yang disuarakan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad ini ada kewajarannya. Signal rakyat di Singapura amat jelas terhadap pemimpin mereka. Di Malaysia juga begitu. Dulu, orang yang berjuang dalam politik mendahului kepentingan rakyat dan penat lelah mereka dibalas dengan sokongan padu akar umbi. Sekarang, rakyat sudah berpengetahuan dan tidak semua mereka boleh terpengaruh dengan dakyah dan propaganda sesuatu parti secara melulu dan membabi buta. Rakyat sudah pandai membuat pertimbangan. Dengan bantuan maklumat dihujung jari (internet) maklumat lebih cepat sampai dan disebarkan. Jelas, kreativiti dan pendekatan untuk pemimpin menyampaikan sesuatu isu atau dasar perlu disebarkan dengan kaedah yang paling efisien dan berstrategi. Bahagian akar umbi dan tulang belakang perlu setia dan tidak bercakaran sesama sendiri.

oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD
9/11/2011 7:55:04 AM
Sumber : Sinar Harian

Pemerintahan elit kian terancam, PRU-13 mungkin timbulkan kesan pada Umno-BN Walaupun Singapura dari segi geografi, terdekat dengan kita selain dari Thailand, kita jarang membaca berita tentangnya. Thailand, apa lagilah Indonesia, di seberang,

mendahului Temasek dalam liputan media kita. Apa pun mutakhir agak banyak sedikit laporan mengenai politik elit pulau itu kerana telah wujud persengketaan dalaman atau ‘internal fissure’ dalam PAP, parti elit yang telah berkuasa di Temasek semenjak tahun 1959 dan semenjak bulan Mei lalu diburukkan lagi selepas pilihan raya Presiden dua minggu (2 Saturdays ago). Apa yang diramalkan oleh Lee Kuan Yew (LKY) pengasas PAP, Bapa Singapura moden dan Perdana Menteri pertama, apabila dia berundur sesuatu (baca schism atau perpecahan akan melahirkan kelompok/mazhab disebabkan pendapat yang berbeza) sudah dan sedang berlangsung membuka mata rakyat Singapura. Keputusan dua pilihan raya dan schisme dalam PAP mempunyai implikasi siasah penting, berpengaruh dan agak luas.

Percanggahan (conflict) bermula kerana keputusan pilihan raya umum yang tidak cemerlang, mengikut standard PAP, menjadi lebih pincang dengan kemenangan tipis calon yang ditaja oleh PAP dan pemerintah, Dr Tony Tan, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam pilihan raya Presiden melawan Dr Tan Cheng Bock, bekas back-bencher PAP selama 26 tahun, popular kerana berminda bebas disokong pula oleh grassroots dan non-elit dalam parti dan kerajaan mendapat sambutan hebat daripada pengundi. Tony Tan hanya mampu meraih majoriti sebanyak 7,269 undi atau 35.2 peratus.

Cheng Bock dapat 34.8 peratus dari jumlah 2.2 juta yang mengundi. Satu tamparan besar kepada pucuk kepimpinan PAP dan pemerintah; satu tumbukan yang memeranjatkan kepada bekas ahli inner-circle parti dan pemerintah. Seolah-olah satu pertandingan proxy telah berlaku antara wakil pemerintah dan wasitah grassroots. Satu iktibar bagi Umno yang menghadapi PRU-13 yang diramal getir itu.

Keputusan kedua-dua pilihan raya bukan satu ‘fluke’ yakni bukan secara kebetulan; ia dijangka sebabnya self-evident. Pengundi muda-mudi, mereka terpelajar – bilangan golongan ini kian bertambah begitu juga di Malaysia – tidak begitu gemar dengan cara, stail pemerintahan elit yang keras dan teknokratik itu walaupun Temasek sudah mencapai taraf Dunia Pertama, bersih, amanah dan cekap. Pemimpin kerajaan Umno-BN harus mengambil perhatian. Kenapa pengundi Singapura seolah-olah memberontak sungguhpun negara mereka sudah sampai ke tahap yang kita masih menunggu dengan penuh harapan ke tahap yang sama sembilan tahun lagi? Nyata mereka tidak selesa di Dunia Pertama tanpa lebih kebebasan bersuara, bertindak. Mereka ingin lebih checks and balance on the PAP government; lebih demokrasi yang liberal; pengundi tua dan konservatif masih bersama dengan pemerintah. Berapa lama lagikah (walau siapa pun tidak mampu meramal) toleransi golongan ini terhadap elitisme setelah lebih empat dekad PAP berkuasa? Keadaan di Singapura makin leper atau pipih. PRU 2008 menunjukkan pengundi kita sudah berubah, dijangka terus beralih kalau tak kena buat! Dana, projek kilat, transformasi, slogan tidak mencukupi. Rakyat mahu melihat bukti mereka dihormati, menikmati kemakmuran, kebebasan, keadilan sosial, amanah dan ketelusan wujud bukan omong kosong atau seperti kata orang Kelantan ‘bual saja’!

Tidak berapa lama dahulu LKY telah memberi amaran: kemungkinan PAP berkecoh apabila dia bersara atau tiada lagi. Walaupun LKY masih ada (semenjak pilihan raya bulan Mei hanya MP biasa mewakili Tanjung Pagar semenjak 1959 lagi, setelah 41 tahun dalam kabinet, lebih tiga dekad sebagai PM) sudah pun berlaku keselerakan dalam PAP. Baru-baru ini pula LKY bermadah, lebih terus terang daripada biasa, PAP menghadapi bahaya hilang kuasa pada suatu hari. Tegasnya, ‘that day will come’. Semasa LKY berada dalam kabinet, PAP kukuh, kalau pun ada tidak puas hati, diselesaikan diam diam. Selalunya yang tidak senang hati berkesudahan lenyap atau ‘fade away’ terang Speaking. Mereka yang tidak selesa dengan LKY diketepikan atau ‘harshly dealt with’.

Seperti di Singapura, rakyat Malaysia juga bosan, jemu dengan kebongkakan, kesombongan setengah-setengah pemimpin Umno-BN dan kerajaan. Mereka tidak seperti zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Dr Mahathir pada hal pemimpin waktu itu mempunyai kelebihan yang banyak tetapi mereka tidak angkuh, mereka tidak takbur, tidak hidung tinggi! Tun Razak jujur mendahulukan rakyat terutama mereka di luar bandar dan pedalaman. Idiom zaman itu bukan mendahulukan rakyat – ‘mendekati dan membantu rakyat jelata dengan adil, cepat dan telus’. Tindakannya bukan retoriknya menyebabkan dia disayangi. Tun Razak bukan seorang pemidato; dia seorang pentadbir, pelaksana atau implementor dalam kelasnya tersendiri. Rakyat, terutama Peribumi, memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Dr Mahathir bukan mereka yang hanya pandai menabur janji. PRU-13 akan menjadi ‘water-shed’ yakni titik perubahan kepada Umno, Pas, DAP dan PKR.

Pengundi Singapura telah memberi amaran secara terang pemerintah harus berubah begitu juga pengundi kita memberi ingatan kerajaan kita mesti berubah kalau tidak jangan terkejut kalau sokongan mereka berpindah. Pertumbuhan ekonomi tinggi penting tetapi kepada majoriti rakyat pertumbuhan itu tiada makna kalau mereka terus dipinggirkan dan berkuah air mata manakala elit lokal dan dagang senang lenang bermandi di lautan kebendaan. Rakyat mahu kehormatan dan kemakmuran, materialisme. Juga ‘spirituality’, kata Speaking yakni ketuhanan, nilai-nilai rohaniah. Parti mana, siapa boleh menjamin pengundi akan menikmati kalau pun tidak semua separuh impian mereka akan menang PRU-13.

Legasi atau warisan Umno, seperti PAP, bercampur. Apa pun kalau seorang itu adil dia mesti menerima hakikat kedua-dua parti pemerintahan ini, suka duka, telah membawa kemajuan yang terbaik mungkin, jarang sekali rekod mereka dicapai oleh bekas tanah jajahan British/Amerika Syarikat/Perancis yang lain. Begitu juga pemuja Umno dan juga PAP – jangan cepat terasa – harus menerima barangkali sebab terlampau lama mereka memerintah, suka duka, mereka, tegas Speaking telah, ‘lost touch with the ground – kaki mereka tidak lagi berpijak di bumi.’

Adalah ironik kejayaan kedua-dua parti lambat laun juga akan merebahkan Umno dan PAP. Proses transformasi, reformasi mesti berlaku. Semua setuju. Apa yang dipersoalkan, kelompok mana yang beruntung dari tindakan ini – yang kaya terus kaya dan miskin terus fakir?

Sabtu, 19 Mac 2011

Isu terkini


Pilihan raya Sarawak mula mencuri tumpuan. Kekayaan Ketua Menteri hangat diperkatakan. Di dada akhbar, isu DNA heboh dilaungkan di sana sini menuntut DSAI menyerahkan sampel. Di IPTA pula, mana-mana Naib Canselor yang dilantik akan disusuli dengan surat-surat layang. Kejadian Tsunami di Jepun yang telah mengorbankan 4000 ribu orang secara rasminya dan 10,000 ribu lagi masih hilang. Isteri PM pula diserang oleh pembangkang kerana meletakkan kesalahan kepada Kerajaan Jepun yang tidak menghargai alam sekitar dan menyebabkan bencana pencemaran gas nuklear. Amerika Syarikat tetap mempertahankan bahawa kerajaan Libya akan dikenakan tindakan ketenteraan walau apa cara sekalipun sekiranya masih berdegil untuk menyerang pihak pemberontak yang juga terdiri daripada orang awam.

Ahad, 12 September 2010

Makna di sebalik balik kampung


Setiap kali musim perayaan, mereka yang berada di perantauan berpeluang untuk berada bersama keluarga masing-masing di kampung. Tradisi seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang terpelihara sejak sekian lama. Situasi yang didengari dan dirasai selama berada di kota-kota besar akan disampaikan kepada kaum keluarga yang biasanya dihiasi dengan gelak ketawa dan gurau senda. Setiap keluarga pasti ada pengikut setia kepada mana-mana parti politik sama ada secara lansung ataupun tidak lansung. Sesuatu isu yang dilontarkan pasti diikuti secara sokongan ataupun sindiran manja oleh mana-mana ahli keluarga yang cenderung mengeluarkan idea. Itulah kepentingan ikatan kekeluargaan yang boleh menyumbang kepada sokongan kepada parti politik di luar sana akhirnya. Mungkin betul pandangan sesetengah pihak mereka yang berada di perantauan mempunyai kuasa besar dalam menentukan sokongan dan kemenangan kepada parti-parti politik sewaktu pilihanraya umum.

Rabu, 25 Ogos 2010

Sistem Biometrik


Sistem Biometrik yang akan dikuatkuasakan pada Oktober 2010 ini dilihat boleh membantu mengatasi kebanjiran Pendatang Tanpa Izin dan ketirisan pengunjung warga asing yang masuk ke dalam negara tanpa pulang semula ke tempat asal mereka. Identiti mereka dapat dikenal pasti lebih awal. Idea dan pelaksanaan ini cukup menarik. Adalah diharapkan pihak berkuatkuasa yang diberi tanggungjawab berkaitan hal itu akan menunjukkan komitmen yang tinggi semasa bertugas. Rakyat Malaysia susah untuk melepasi tahap keselamatan negara jiran. Oleh itu, rakyat negara jiran juga perlu menghormati dan mengikut garis panduan bilamana mahu berada di negara ini.

Selasa, 24 Ogos 2010


25 hb Ogos 2010, berbaki 6 hari lagi untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia. Di sana-sini, banyak pihak mengambil peluang untuk membuat persiapan hari raya dengan mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Semangat patriotik pula kurang berseri kerana jumlah pemasangan bendera di kenderaan awam dan persendirian begitu kecil. Jarang-jarang dapat dilihat kereta dipasang Jalur Gemilang. Kesedaran dan semangat rakyat tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sabtu, 14 Ogos 2010


Jika berkunjung ke Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Wangsa Maju, ada penambahbaikan yang telah dilakukan. Kelihatan kaunter warga emas dan OKU ada disediakan. Jika terlalu ramai mereka yang ingin perbaharui cukai jalan, ada laluan pantas yang dibuat oleh pegawai secara ad-hoc. Satu perkara yang perlu diperhalusi ialah, tidak semua rakyat memahami dengan jelas, kesan dan tindakan yang bakal dihadapi apabila saman tidak dibayar segera. Ramai yang bersikap 'tunggu' 'last minute'. Kaunter 7 dan 8 adalah khusus untuk pembayaran saman. Turut disediakan bilik 'saman semula' dan bilik 'temu siasat'. Bagi golongan berada, tidak sukar untuk menjelaskan berapa banyak saman yang dikeluarkan.Golongan yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'pasti akan tergamam bila mana jumlah yang perlu mereka bayar adalah besar walaupun hanya sekadar kesalahan tidak memperbaharui cukai jalan. Orang yang bersalah pasti kena tindakan, pemilik kenderaan juga turut dikenakan denda. Kedua-duanya tidak akan dapat memperbaharui lesen apabila sampai masanya. Oleh sebab itu, disyorkan agar semua perkara yang melibatkan undang-undang perlu disampaikan kepada masyarakat dengan cara yang paling berkesan. Perkataan yang paling sesuai di sini ialah 'PENDIDIKAN KEPADA PESALAH JALAN RAYA'. Ayuh pihak yang berkaitan, perketatkan peraturan dan bijak menyampaikan penerangan. *Saman ekor mungkin ada kebaikan tetapi mengapa banyak pihak mempertikaikannya?

Jumaat, 13 Ogos 2010

Bayi Satu Anugerah Bukan Mainan


Membuang maknanya tidak sayang. Dibiarkan bersendirian tanpa dususui.Terdedah kepada ancaman binatang. Pertama kali mengenal dunia, tubuh tidak diselimuti. Sejuk terasa, busuk kerana bermalam di tong sampah. Akhirnya, selamat tinggal dunia, sungguh durjana, kejam mereka berhati iblis.
Seksyen 302 kanun keseksaan, perbuatan membunuh atau cubaan membunuh telah dipersetujui oleh kabinet untuk menghukum mereka yang bersalah. Sebelum ini hanya dikira sebagai kes menyembunyikan kelahiran. Apa yang penting sekarang ialah, bagaimana pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Sudah sampai masanya semua agensi yang ada disatukan untuk digerakkan secara bersama. Maksudnya perlu diselaraskan. Pelaksanaan dibuat tanpa ada unsur kepentingan. Penguatkuasaan dilakukan bukan bererti bahan untuk berita sensasi. Segala tindakan wajar untuk menangani semua masalah yang wujud akibat gejala sosial. Bersediakah kita untuk menutup apa saja ruang dan peluang gejala sosial daripada terus bermaharajalela. Bagaimana ancaman hiburan, di televisyen, di pusat-pusat hiburan, majalah hiburan dan laman-laman lucah yang menghairahkan. Kuasa politik mutlak kejayaan.

Ahad, 8 Ogos 2010

Program selepas atau sebelum gejala sosial berlaku?


KM Melaka di'interview' dalam HUJAH menerusi TV9 selasa 3 Ogos 2010, dikeluarkan kenyataannya dalam Mingguan Malaysia Ahad 8 Ogos 2010, berkaitan penubuhan sekolah pelajar mengandung yang pertama di Malaysia. Usaha beliau katanya bersama dengan pihak Jabatan Islam,Mufti dan seluruh agensi agama yang ada di Melaka. Pelajar miang dan tidak tahan godaan nafsu dinasihatkan agar berkahwin awal dan diberi RM500.00 sebagai modal perkahwinan. Daripada pelajar ini terus bergelumang dengan dosa,lebih baik mereka buat secara halal katanya. Bayi-bayi yang lahir tidak terus dibuang dan boleh diberi kepada ibu bapa angkat. Mungkin ramai terpegun seketika, 'KM Melaka kata: Kembali kepada agama'.
Rasanya sejuk hati orang PAS dengar perkataan tersebut. Tidak semua bersetuju dengan tindakan KM Melaka tersebut. Ada yang berpendapat lebih baik mencegah puncanya dari awal mengapa kes-kes gejala sosial berlaku. Bukannya mengambil langkah selepas kes-kes gejala sosial berlaku. Adalah lebih baik, isu ini dibincangkan diperingkat yang lebih tinggi, iaitu dalam majlis Mufti-mufti seluruh Malaysia. Cari kesepakatan, minta pandangan semua pihak, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang. Kesannya banyak, kesannya kepada seluruh warga Malaysia. Perkara ini bukan permainan untuk dipolitikkan. Generasi masa depan adalah bermula dari generasi muda yang terpimpin pada masa sekarang.

Selasa, 3 Ogos 2010

Remaja Oh Remaja: Susah Mencapai Merdeka, Senang Dibuai Bahana


Isu remaja terlalu banyak. Sikap ingin mencuba, pengaruh rakan sebaya dan serangan hiburan yang berterusan telah memperlihatkan keruntuhan akhlak remaja di sana sini. Sekolah pelajar mengandung diwujudkan dengan niat untuk melindungi bayi agar tidak dibuang sesuka hati. Pernah juga jarum suntikan diberi percuma bagi mengelakkan angka pesakit AIDS meningkat. Serangan ala genster, samseng berkumpulan mungkin boleh menyerang mangsa secara terbuka dan ia memang terjadi mengikut laporan akhbar-akhbar tempatan. Urut geli-geli dengan kepakaran remaja tanpa izin sudah tidak segan untuk beroperasi dan menerima sesiapa saja yang dahagakan belaian itu. Ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak bersama teman sosial meraikan 'birtday party'walau di rumah sendiri. Saman menyaman antara bapa terhadap anak, bapa disepak terajang, ibu kehilangan anak yang dilarikan akibat godaan cinta, mencerminkan keluarga bahagia kian terhakis. Dimana silapnya? Siapa harus ditanya?

Ahad, 1 Ogos 2010

Guru Pembina Masa Depan Pemimpin Negara



Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Membentuk anak biarlah daripada kecil. Anak yang keras kepala bila dirotan sekali sekala, menjadi juga akhirnya. Bukan disebabkan takut kepada rotan, tetapi aura rotan itu yang membuatkan mereka terfikir dan sedar akan kesalahan yang dilakukan pada ketika itu. Kadang-kadang rotan tidak sangat digunakan, tetapi menunjukkan rotan kepada anak-anak sudah cukup memeritkan mereka. Hari ini, guru tidak dibenarkan memegang rotan. Apatah lagi menggunakannya bila diperlukan. Murid-murid yang nakal dengan selamba membuat apa saja. Mereka tahu, guru tidak boleh mencubit,memulas telinga,menampar dan apa sahaja sentuhan yang ditafsirkan boleh mendatangkan kesakitan kepada murid. Guru yang baik biasanya menegur perbuatan mereka. Guru yang baik itu juga terpaksa menerima sendaan muridnya sendiri, dimaki hamun oleh murid,dipermainkan, tidak kurang juga diperlekehkan sesuka hati oleh murid.Apa yang guru boleh lakukan pada hari ini? Dewasanya seorang murid itu, mungkin mereka boleh pandai dalam akademik tetapi mereka sebenarnya tidak bijak dalam banyak perkara. Tidak boleh menghormati orang yang lebih dewasa walaupun yang berdiri di hadapan mereka itu adalah guru mereka sendiri. Ibu bapa akan menyalahkan guru, bila anak mereka tidak berguna satu hari nanti. Ayuh orang politik, gunakan ketajaman akal. Cubalah anda menjadi guru walau seketika. Selami sedalam-dalamnya. Anda dapat jawapannya.

Khamis, 15 April 2010

Dr M kembali..

Tun Dr Mahathir mengesyorkan agar tambatan ringgit kembali diadakan. Pakar-pakar ekonomi dan ahli-ahli Bank Negara, capailah satu keputusan yang mampu memulihkan Malaysia daripada kelembapan ekonomi. Kadang-kadang pandangan orang lama boleh juga dipakai. Kepada yang lain ,elakkan membuat pengumuman yang hanya untuk meraih populariti. Fikirlah untuk kesejahteraan Malaysia bukan sekadar menangguk di air yang keruh.

Kesudahannya dimana?

4 wakil parlimen, 4 wakil dun, semuanya dari PKR melompat parti menjadi ahli bebas. Pelbagai persepsi,kritikan dan pujian diberikan kepada mereka. Pilihanraya Hulu Selangor, satu episod dan ujian bagi mereka ini. Satu ketika di pihak pembangkang dan sekarang diisytiharkan bebas. Adakah mereka benar-benar bebas?

Sabtu, 13 Mac 2010

Program yang bijak

Perdana Menteri bersama 300 rakan facebook di Putrajaya. Sebelum itu, PM di temuramah oleh 4 kanak-kanak yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3. Nampak biasa tapi hakikatnya memberi impak yang besar kepada generasi muda. PAS di sana sini pula mula menapak dalam program yang berbentuk kesukanan di peringkat akar-umbi.Penglibatan golongan muda juga kian bertambah. Sokongan kelab penyokong PAS dari bangsa bukan Melayu juga kian rancak.Bertuahnya generasi muda. Jangan pula, generasi lama menyimpan rahsia yang tersembunyi. Mereka juga penting dalam arus politik perdana.

Rabu, 24 Februari 2010

Kembalikan Maruah Pertahankan Kedaulatan

Kemegahan Kesultanan Melayu Melaka akhirnya binasa juga. Sekian lama bangsa asing mendominasi kekayaan yang dimiliki di bumi bertuah ini. Tanpa belas kesihan peribumi terpaksa hidup menumpang di bumi sendiri. Ditindas perkara biasa, kebanyakkan mereka ditemani airmata. Bila bersuara dianggap penderhaka. Lama-kelamaan pejuang bangsa muncul jua. Bersama rakyat menentang kezaliman. Bertindak seia sekata dengan satu suara menuntut merdeka. Malayan Union hendak dilaksanakan, namun kesatuan hati nenek moyang kita melenyapkan impian para durjana. Kita menuntut sebuah negara. Negara tempat dilahirkan dan bukan sesekali mengambil hak orang lain. Akhirnya 31 Ogos 1957 jiwa-jiwa merdeka deengan laungan keramat Merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka,merdeka menjadi realiti. Bertuahnya bumi Malaysia.

Hari ini 2010. Masa begitu pantas. Tegakkan negara,kembalikan maruah bangsa dan martabatkan Islam hingga akhirnya.

Selasa, 23 Februari 2010

Binalah Malaysia Dengan Penuh Tanggungjawab

Kontrak Sosial wujud secara automatik dalam Perlembagaan. Bumiputera bermurah hati dan penuh pengorbanan memberi kerakyatan kepada bukan bumiputera melalui prinsip jus soli (kerakyatan mengikut tempat kelahiran.) Orang bukan Melayu pula perlu menerima 4
ketetapan iaitu Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, hak-hak orang melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan.
Walaupun demikian bukan bumiputera dibenarkan secara bebas mengamalkan agama masing-masing, boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri dan berada di bawah naungan Raja-raja Melayu berdaulat.
Dalam kehidupan negara Malaysia yang aman ini,sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia bekerjasama dan mengekalkan semangat perpaduan yang tinggi demi memelihara keharmonian yang dikecapi. Mana-mana warganegara sepatutnya tidak boleh mempertikaikan apa jua yang telah termaktub dalam perlembagaan agar 13 Mei 1969 tidak lagi menjadi detik hitam dalam sejarah negara.Demi penyatuan bangsa Malaysia, parti-parti politik yang sedia ada perlu berjuang secara sihat dan bukan dalam acuan huru hara yang boleh memporakperandakan keadaan. Parti pemerintah, memerintahlah dengan adil dan memperjuangkan yang hak tanpa menggadaikan nasib peribumi sendiri.Parti pembangkang pula, imbangi suara dan bantahan secara realistik dan menggunakan saluran yang paling rasional.Kekecohan yang berlaku di negara lain perlu diambil ikhtibar dan pengajaran. Dalam memperjuangkan ideologi, kesan jangka panjang harus difikir dan dibincangkan dengan mendalam. Jangan semata-mata untuk mengisi kemenangan dalam pilihanraya, tetapi menafikan pengisian selepas mendapat kuasa.Sesuatu yang baik dan boleh diterima banyak pihak, tidak boleh berlaku secara pantas dan keterpaksaan. Ianya datang atas dasar kesedaran yang tinggi demi mencapai cita-cita generasi masa depan terus menikmati kemakmuran yang telah dikecapi.
Sekarang adalah masa terbaik untuk memperingatkan mana-mana parti politik kerana masing-masing sudah mendapat kepercayaan sebagai parti yang memerintah dan pembangkang. Parti pemerintah juga bertindak sebagai pembangkang di negeri tertentu dan pembangkang bertindak sebagai pemerintah juga dinegeri tertentu. Beringatlah, anasir ancaman dalaman dan ancaman luaran pasti ada yang menunggu untuk mengambil peluang terhidang sekiranya kita rakyat Malaysia silap percaturan dan terlalai. Disebalik kejatuhan Kota Melaka, binalah Malaysia dengan penuh tanggungjawab.

Jumaat, 5 Februari 2010

3 Cabaran Berbeza

Pertama
Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) berada di pentas Pakatan Pembangkang memperjelaskan isu dan tuntutan royalti minyak di Stadium Kota Bharu dengan kehadiran 50,000 rakyat Kelantan. Tun Dr.Mahathir mendefinisikan bahawa, Tengku Razaleigh berkongsi kesetiaannya iaitu satu untuk parti dan satu lagi untuk negerinya sendiri. Pengerusi UMNO Kelantan menjelaskan, pihaknya tidak punyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap Kuli melainkan badan disiplin peringkat pusat. Apakah tekanan yang dialami oleh UMNO? Apakah faktor yang menjadi kekuatan kepada Kuli untuk berbeza pendekatan isu royalti dengan partinya sendiri?

Kedua.
Lim Guan Eng dibantah dan dipersenda sehingga patungnya dibakar dalam siri bantahan di hadapan Kompleks Ketua Menteri PP. Ngo, Dewan Perniagaan Melayu,GPMS,Perkasa, bergabung tenaga meminta Ketua Menteri itu bertindak secara adil dalam pentadbiran negeri. Jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang?

Ketiga.
9 Februari 2010, adakah ada perubahan pentadbiran di Perak? Nampaknya rakyat sudah bosan dan tidak lagi teruja seperti sebelumnya mengenai kepimpinan negeri. Bagi rakyat Perak, yang penting kemakmuran negeri dan maruah sekaliannya harus diutamakan. Lihatlah nanti, apakah keputusan mahkamah. Kedua-dua pihak memilih bidang kuasa mahkamah untuk mengadilinya. Bagi rakyat, kuasa mutlak adalah pada PRU ke-13.


Panduan untuk semua!
Khutbah jumaat yang disiarkan secara langsung dalam televisyen RTM pada 5 Februari 2010 meminta jemaah seluruh negara memahami konsep ulama dan cerdik pandai agama. Seseorang pemimpin akan rosak apabila dikelilingi oleh ulama yang punyai kepentingan dan kemewahan dunia, pangkat dan popular. Ulama mesti bebas dari semua itu.

Sabtu, 5 Disember 2009

TPM Jiwa Melayu

Datuk Seri Muhyiddin Yassin banyak melakar perubahan dalam politik UMNO. Unsur kembali bersatu semakin dapat dilihat walaupun masih ada sekerat pemimpin lama yang masih bersaing antara satu sama lain. TPM nampak bersungguh-sungguh dalam mengembalikan zaman keagungan UMNO. Isu yang timbul terutama di bawah bidang kuasanya, dilihat cepat ditangani dan siap diperjelaskan kepada sasaran. Pemimpin seperti beliau punyai karisma kemelayuan. Pengaruhnya masih kuat di seantero Malaysia. Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sememangnya beruntung mempunyai Timbalan sepertinya.

Orang Politik Tukar 'Attitude'

Bila bercakap pasal solat jemaah terutamanya waktu subuh, banyak orang mengatakan tidak sempat. Sibuk. Sebenarnya, mereka yang berwajib tidak berfikir dengan mendalam untuk mengatasinya dengan terbaik. Mengapa masjid, surau pada waktu subuh kosong? Waktu melaungkan azan memang tepat waktu. Untuk mendirikan solat subuh mengambil masa yang lama untuk menunggu makmun hadir. Bila ditunggu-tunggu, jumlah kehadiran lebih kurang sama juga. Mengapa tidak terus mendirikan solat subuh berjemaah sebaik sahaja selesai solat sunat 2 rakaat? Jangan ditunggu lagi kehadiran makmun yang datang lewat. Bilamana semua Masjid-masjid di Malaysia mengamalkan solat jemaah tepat pada waktunya tanpa melengah-lengahkan untuk mengumpul kehadiran makmun yang sengaja lewat, maka sampai bila-bila pun keadaan masjid akan kosong. Yang penting, 'attitude' orang Islam perlu berubah. Bagaimana untuk mereka berubah. Pihak berwajiblah yang perlu merancang itu semua. Kesannya nanti, orang yang malas ke masjid sekalipun, akan tergerak hati hati untuk ke masjid kerana mereka boleh menjangkakan masa keberadaan mereka di masjid. Bila mereka datang sekali....pasti ada sedikit aura untuk datang lagi. Tidakkah ini satu cara dakwah tanpa tekanan dan paksaan? YB Khir Baharom selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri perlu pantas dan kreatif dalam menzahirkan daulah islamiyyah di Malaysia.

Pintar Melayu Tidak Bertempat

Melayu yang pintar dalam politik dan istiqamah dalam pembangunan Malaysia memang ada. Cuma mereka ini berada dalam Parti politik yang berbeza. Matlamat lebih kurang sama demi penyatuan bangsa, memelihara kesucian Islam dan membina kesinambungan generasi yang patriotik terhadap negara. Biarpun di medan parti politik yang berbeza, tidak adakah satu penyelesaian untuk duduk bersama demi mendaulatkan Islam dan Melayu. Carilah dalam bentuk program yang tepat dan boleh dikongsi bersama. Gunakan ketajaman fikiran, lupai sengketa seketika, renung jauh ke depan, orang Melayu perlu dididik dengan cara terbaik. Gunakan kesempatan yang Allah berikan untuk memakmurkan kehidupan manusia di dunia.

Jumaat, 4 Disember 2009

Politik Hitam dan Putih

Cuba kita tanya dan cuba renungkan...
Siapa dikalangan ahli politik yang betul-betul bersih...cakap berlandaskan kebenaran.
Apa jawapan anda?

Secara faktanya, pemimpin yang menjalankan kewajipan berlandaskan Perlembagaan, Undang-undang tubuh negeri adalah pemimpin yang perlu dipuji. Perlu diingat bahawa, politik yang tidak betul akan diselubungi bayang hitam yang cuba diputihkan dalam apa cara sekalipun. Yang putih cuba untuk tidak memberi laluan si hitam hinggap walau seketika cuma. Itulah dunia politik, kepantasan pemikiran, kekuatan daya tahan, berdaya saing untuk mempraktikan sesuatu yang bermanfaat untuk rakyat, adalah prasyarat untuk seseorang itu lahir sebagai negarawan tidak kira sebagai Parti Pemerintah mahupun Parti Pembangkang.