Kontrak Sosial wujud secara automatik dalam Perlembagaan. Bumiputera bermurah hati dan penuh pengorbanan memberi kerakyatan kepada bukan bumiputera melalui prinsip jus soli (kerakyatan mengikut tempat kelahiran.) Orang bukan Melayu pula perlu menerima 4
ketetapan iaitu Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, hak-hak orang melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan.
Walaupun demikian bukan bumiputera dibenarkan secara bebas mengamalkan agama masing-masing, boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri dan berada di bawah naungan Raja-raja Melayu berdaulat.
Dalam kehidupan negara Malaysia yang aman ini,sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia bekerjasama dan mengekalkan semangat perpaduan yang tinggi demi memelihara keharmonian yang dikecapi. Mana-mana warganegara sepatutnya tidak boleh mempertikaikan apa jua yang telah termaktub dalam perlembagaan agar 13 Mei 1969 tidak lagi menjadi detik hitam dalam sejarah negara.Demi penyatuan bangsa Malaysia, parti-parti politik yang sedia ada perlu berjuang secara sihat dan bukan dalam acuan huru hara yang boleh memporakperandakan keadaan. Parti pemerintah, memerintahlah dengan adil dan memperjuangkan yang hak tanpa menggadaikan nasib peribumi sendiri.Parti pembangkang pula, imbangi suara dan bantahan secara realistik dan menggunakan saluran yang paling rasional.Kekecohan yang berlaku di negara lain perlu diambil ikhtibar dan pengajaran. Dalam memperjuangkan ideologi, kesan jangka panjang harus difikir dan dibincangkan dengan mendalam. Jangan semata-mata untuk mengisi kemenangan dalam pilihanraya, tetapi menafikan pengisian selepas mendapat kuasa.Sesuatu yang baik dan boleh diterima banyak pihak, tidak boleh berlaku secara pantas dan keterpaksaan. Ianya datang atas dasar kesedaran yang tinggi demi mencapai cita-cita generasi masa depan terus menikmati kemakmuran yang telah dikecapi.
Sekarang adalah masa terbaik untuk memperingatkan mana-mana parti politik kerana masing-masing sudah mendapat kepercayaan sebagai parti yang memerintah dan pembangkang. Parti pemerintah juga bertindak sebagai pembangkang di negeri tertentu dan pembangkang bertindak sebagai pemerintah juga dinegeri tertentu. Beringatlah, anasir ancaman dalaman dan ancaman luaran pasti ada yang menunggu untuk mengambil peluang terhidang sekiranya kita rakyat Malaysia silap percaturan dan terlalai. Disebalik kejatuhan Kota Melaka, binalah Malaysia dengan penuh tanggungjawab.